Friday, December 15, 2017

'Kau belanja ape je sampai banyak tu, bodoh!' - Suami berang dan tengking isteri kerana dicaj RM275 untuk beli barang keperluan




Malang nasib seorang isteri apabila dia ditengking suaminya di hadapan orang ramai gara-gara barangan keperluan rumah yang diambil melebihi bajet si suami. Bukan saja diaibkan, malah ditinggalkan pula si isteri dan dua orang anak kecil di kaunter itu dengan duit RM150. 

Alangkah zalim dan dayusnya suami yang tidak guna seperti ini. Kasihan si isteri terpaksa menanggung malu. Semoga si suami sedar akan kesilapannya dan bertaubat sebelum terlambat. 

ASSALAMUALAIKUM admin. Saya tiada masalah rumah tangga. Cuma nak berkongsi satu kejadian di depan mata. 

Begini, tengah hari tadi saya pergi belanja barang dapur di shopping mall The Mines, Serdang. Selepas saya memilih barangan dapur, saya pergi ke kaunter untuk membuat pembayaran. Ketika sedang menunggu giliran, di depan saya ada satu pasangan suami isteri bersama dengan dua orang anaknya. Seorang masih bayi dan yang seorang lagi anaknya lebih kurang sebaya dengan anak saya. 

Saya terkejut apabila juruwang itu kata mereka kena bayar RM275. Saya dengar dengan jelas. Tahu apa jawapan si suami? 

"Kau belanja ape je sampai banyak tu, bodoh!" si suami menengking isterinya di depan orang ramai. 











Masa insiden itu berlaku, di belakang mereka ada dalam lima orang termasuk saya yang sedang menunggu giliran membuat pembayaran. Saya tengok wajah si isteri merah padam menahan rasa malu. 

Selepas itu si suami terus menghulur duit RM150 dan terus pergi tanpa mempedulikan isteri dan dua orang anaknya. Si isteri terus memberitahu juruwang itu yang duitnya tidak cukup untuk membuat pembayaran. Dia letak barang-barang lain dan hanya mengambil beras, pampers, susu dan telur sahaja. 

Saya kasihan melihat dia, lalu saya cakap pada dia, "Akak ambil saja, biar saya yang bayar bakinya." Pada awalnya dia tidak mahu dan kata, "Takpe dik,". Saya paksa juga dia menerima sebab di belakang ada ramai yang sedang menunggu giliran untuk membuat pembayaran. Dengan rasa berat hati, dia mengambil barang-barang itu semua. 



Hati saya rasa sedih melihat insiden yang berlaku di depan mata. Saya tak sampai hati tengok anak-anak dia. Tanpa sedar air mata saya mengalir pada masa itu. Mungkin di dalam hati dia juga menahan kesakitan dan rasa malu dimaki dan ditengking oleh suaminya di depan orang ramai. 

Saya nak sampaikan kepada lelaki di luar sana, jangan kau memalukan isteri di depan orang ramai. Jangan kau hina dia. Sebaliknya hargailah isteri kerana nafkah sesungguhnya adalah tanggungjawab suami. 

Itu saja yang saya nak kongsikan. Sampai sekarang saya masih teringat akan insiden itu. Alhamdulillah, suami saya baik dan cukup dalam memberi nafkah kepada saya dan anak-anak. Terima kasih min. 

Tuesday, December 12, 2017

Guaman: Bayaran nafkah isteri nusyuz








Assalamualaikum Saya tertarik dengan ruangan Guaman yang disiarkan di halaman ini. Saya mempunyai satu persoalan yang diharap pihak tuan dapat membantu. Jika isteri didapati curang, perlukah seseorang suami itu membayar nafkah seperti yang diwajibkan? Mat, Melaka.


 Jawapan: Pertama sekali, saya mengalu-alukan soalan yang baik dan kesungguhan pihak tuan bagi mengekalkan keharmonian rumah tangga yang dibina. Persoalan ini bukan saja dapat membuka mata ramai lagi rakyat Malaysia berhubung hal nusyuz dan bentuk tindakan yang patut diambil, malah kita dapat melihat sejauh mana undang-undang Syariah berfungsi dalam memberikan keadilan dan menjaga keharmonian sesebuah institusi keluarga. Hakikatnya, nafkah adalah antara tanggungjawab yang wajib ditunaikan kepada isteri oleh suami sama ada ia berbentuk wang ringgit, tempat tinggal, makanan dan seumpamanya yang dianggap sebagai keperluan bagi isteri. Tanggungjawab membayar nafkah diberikan selepas akad yang sah dan berlakunya persetubuhan antara suami dan isteri dipastikan melalui keperluan dan kemampuan pihak terbabit. Hal ini turut dijamin di dalam undang-undang sekiranya tuntutan dibuat, mahkamah boleh menguatkuasakan perintah nafkah ke atas suami yang cuai untuk membayar nafkah isteri. Bagaimanapun, ada pengecualian bagi isteri yang nusyuz untuk tidak berhak mendapat nafkah seperti yang diperuntukkan dalam seksyen 59(2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan (Akta 303). Curang atau nusyuz ini turut dijelaskan dalam peruntukan sama yang mana pensabitan isteri yang nusyuz boleh berlaku sekiranya dia cuba menjauhkan diri daripada suaminya, meninggalkan rumah tanpa izin dan membuat perkara yang bertentangan dengan kemahuan suami atau enggan berpindah mengikut suami tanpa alasan munasabah dan boleh diterima syarak. Merujuk masalah tuan, isteri curang boleh dikategorikan dalam nusyuz dari segi perbuatan. Nusyuz boleh berlaku melalui dua cara iaitu melalui perkataan dan perbuatan. Nusyuz melalui percakapan boleh berlaku sekiranya seorang isteri itu menengking atau mengeluarkan kata-kata kesat kepada suami seperti menghina suami. Nusyuz perbuatan pula berlaku apabila pihak isteri menunjukkan sikap kasar yang keterlaluan dan tidak menunjukkan penghormatan kepada pihak suami dan lebih bahaya ialah isteri menjalinkan kelakuan curang dengan lelaki lain. Hal ini secara jelas haram hukumnya. Perlu diketahui juga bahawa sikap curang atau nusyuz ini juga boleh berlaku sama ada di kalangan suami mahupun isteri. Tidak dinafikan, nusyuz boleh berlaku disebabkan sikap isteri, sikap suami atau berpunca dari faktor luaran. Sebaliknya apabila nusyuz terjadi akibat daripada tindakan atau berpunca daripada pihak suami, hak nafkah tidak gugur jika alasan itu dibenarkan syarak atau sebab yang berpunca dari suami. Sebagai contoh, isteri keluar daripada rumah untuk bekerja mencari rezeki yang halal kerana suami tidak memberi nafkah. Begitu pun, hak nafkah isteri berkenaan tidak luput jika dalam keadaan terpaksa dan bertepatan dengan syarak. Sebagai contoh, isteri keluar mencari nafkah yang halal disebabkan suami tidak memberi nafkah atau isteri keluar menuntut ilmu yang wajib atau bertujuan bertanya masalah hukum yang tidak diajar oleh suaminya. Lain pula halnya jika isteri yang keluar bekerja serta sibuk dengan tugasnya sehingga tidak dapat menyempurnakan urusan rumah tangga dan enggan berhenti kerja apabila diminta oleh suaminya untuk berbuat demikian, maka hak nafkah juga tidak harus diberikan. Tindakan yang boleh diambil terhadap isteri nusyuz. Seperti yang diperuntukkan dalam seksyen 59 Akta 303, isteri yang nusyuz tidak berhak mendapat nafkah dari suaminya sehinggalah isteri kembali menjalankan tanggungjawabnya terhadap suami. Bagaimanapun, mengikut peruntukan undang-undang, proses untuk mensabitkan dan mengesahkan seorang isteri itu nusyuz serta mengenakan tindakan selanjutnya adalah dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah dan tuan perlu mendapatkan pengesahan ini terlebih dulu. Ini bermakna pihak tuan tidak boleh menuduh isteri nusyuz sehinggalah satu pengisytiharan dibuat di mahkamah. Dalam masalah ini, tuan boleh memberi keterangan dan menyatakan bukti yang menunjukkan isteri nusyuz di Mahkamah Rendah Syariah yang memang berbidangkuasa untuk mendengar kes nusyuz. Merujuk Arahan Amalan Mahkamah Syariah No 11 tahun 2001 ada menyebutkan mana-mana kes nusyuz hendaklah didengar dalam kes induk dan tidak perlu dibuat secara berasingan. Sehubungan itu, kes nusyuz ini biasanya dijadikan sebagai satu pembelaaan dalam tuntutan perceraian ta’liq atau fasakh yang menggunakan alasan tidak memberi nafkah. Selain itu, undang-undang juga memperuntukkan bahawa jika seorang isteri disabitkan nusyuz, mahkamah berbidangkuasa untuk memerintahkan isteri agar kembali taat kepada suami. Sekiranya seorang isteri dengan sengaja tidak menurut suatu perintah yang diberikan oleh suaminya yang sah mengikut hukum syarak, seorang isteri boleh didakwa di bawah seksyen 129 Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan. Bagi tujuan itu, suami bolehlah membuat suatu aduan di mana-mana pejabat agama yang berbidangkuasa untuk suatu siasatan dijalankan dan sekiranya perlu pendakwaan akan dilakukan di Mahkamah. Menurut peruntukan undang-undang yang ada juga, seorang isteri yang sudah disabitkan oleh mahkamah tidak lagi berhak untuk menuntut tunggakan nafkah termasuk nafkah i’ddah sekiranya perceraian berlaku. Begitu juga sekiranya pihak isteri membuat tuntutan perceraian ta’liq atau fasakh dengan alasan suami tidak memberi nafkah, alasan itu tidak lagi relevan untuk diguna pakai. Saya juga ingin memetik kaedah dan penyelesaian berhubung nusyuz ini yang disarankan dalam ayat 34 surah al-Nisa’ yang mana Islam menyarankan dengan menetapkan beberapa langkah yang tuan boleh ambil bagi menyelesaikan masalah nusyuz isteri iaitu pertama, hendaklah dengan cara menasihatinya iaitu dengan memberi peringatan bahawa perlakuannya bersalahan dengan kehendak Islam. Jika ia tidak memberi kesan, maka tuan boleh mengambil tindakan dengan meninggalkan seketiduran dengan isteri dan langkah seterusnya sekiranya isteri tuan masih tidak berubah adalah dengan mengenakan pukulan ringan kepada isteri. Namun perlu diingatkan bahawa pukulan itu bukanlah bertujuan untuk menyakitkan atau menghukum, tetapi pukulan berbentuk disiplin yang tidak mencederakan isteri seperti yang diajar dalam Islam. •Jawapan disediakan oleh peguam syarie, Mohd Faiz Adnan, e-mel: admin@faizadnan.com, 03-22831400. 

ISTERI NUSYUZ: Apa tindakan suami?



ISTERI NUSYUZ: Apa tindakan suami? Terapi Anti-Nusyuz! Beberapa hari ini, saya kerap dirujuk mengenai persoalan isteri nusyuz. Para suami kerap mengadu isteri mereka telah nusyuz. Aduan ini pada dasarnya belum dapat mensabitkan kenusyuzan isteri, namun ia sudah cukup untuk mensabitkan kepincangan dalam kaedah suami mengurus rumahtangga. Saya tidak menyalahkan para suami (termasuklah diri saya) sepenuhnya. Namun tidak dapat dinafikan, kenusyuzan isteri sedikit sebanyak turut berpunca daripada sikap suami. Memang lumrah kehidupan, ada hamba yang taat ada hamba yang derhaka. Begitu juga lumrah rumahtangga ada isteri yang taat, ada pula yang tidak taat, itulah isteri nusyuz. Tidak ketinggalan adakalanya suami juga ada yang berlaku nusyuz terhadap isteri tanpa mereka sedari. Pasti ada yang tidak kena, bila isteri berlaku nusyuz. Syaitan sudah tentu tak henti-henti menjadi batu api yang mencetuskan keretakan dalam rumahtangga. Namun syaitan tidak wajar dipersalahkan kerana syaitan sudah sememangnya sentiasa salah. Justeru jangan buang masa menyalahkan syaitan. Apakah yang harus dilakukan jika isteri mula berlaku nusyuz? Adakah suami perlu terlebih dahulu melakukan tiga (3) tindakan tersusun menurut perspektif al-Quran? Atau suami boleh terus sahaja memfailkan permohonan sabitan nusyuz di Mahkamah Syariah untuk menggugurkan hak isteri terhadap nafkah lantaran bimbang nanti isteri akan failkan tuntutan fasakh? Atau suami boleh sahaja terus menceraikan isterinya? Pendekatan yang terbaik dalam menyelesaikan isu nusyuz perlulah berpandukan al-Quran yang telah menyediakan tindakan pencegahan sejak peringkat pra-nusyuz lagi. Di peringkat pra-nusyuz suami disuruh memberikan nasihat yang lemah lembut dan berhikmah kepada isteri. Jika nasihat lemah lembut ini tidak berkesan, perlulah nasihat semula disampaikan dengan cara yang lebih tegas dan profesional. Untuk tujuan kehakiman, di peringkat ini suami perlu membuktikan nasihat telah diberi kepada isteri sama ada melalui surat bertulis yang ditujukan kepada isteri dan dibuktikan penerimaannya, atau melalui saksi yang mendengar nasihat tersebut disampaikan secara lisan. Sebagai alternatif, pihak suami boleh mengupah peguam syarie untuk mengemukakan surat kepada isteri agar kembali taat. Mungkin juga 'ayat-ayat cinta' daripada Peguam Syarie mampu merawat penyakit nusyuz isteri. Seterusnya jika isteri masih enggan taat, bolehlah suami meninggalkan isterinya di tempat tidur. Berpandukan al-Quran, memang boleh. Namun apa pula halnya jika memang suami isteri sudah lama tinggal berasingan. Sudah tentu langkah ini tidak praktikal lagi. Justeru adakah boleh suami terus melakukan tindakan terakhir dengan memukul isteri? Jangan! Isteri tidak suka dipukul walaupun ia dibenarkan oleh Syarak. Melainkan suami seorang 'pemukul' yang profesional, silakanlah. (Yang ni kena belajar cara 'memukul' isteri yang nusyuz secara profesional) Memukul isteri yang nusyuz secara tidak profesional sama seperti mengundang isteri ke majlis perceraian. Jika suami tidak mahu menempa risiko ke jalan perceraian, jangan mencari padah. Silap-silap suami boleh masuk penjara gara-gara memukul isteri. Jangan main-main. Jadi apa yang harus dilakukan lagi? Adakah suami dah boleh failkan kes sabitan nusyuz? Sabar dulu! Jangan nak cepat sangat. Bangga sangat ke memiliki isteri yang nusyuz? Apa kata kita guna cara psikologi pulak. Cari punca isteri nusyuz, dan lakukan terapi anti-nusyuz. Macammana nak lakukannya? Insya-Allah, jika berkesempatan kita akan bincangkannya lagi. 


POSTED BY JURAISH KAMARUDDIN AL-MUHAMI 

Isteri Nusyuz Suami Nusyuz








Pihak-pihak Nusyuz



§ Suami
§ Isteri
§ Kedua-dua belah pihak (suami dan isteri)


Penyelesaian menurut Al-Quran


Penyelesaian terhadap Isteri


§ Surah An Nisa’: 34


Bermaksud : 


Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya. Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil)pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.


Penyelesaian terhadap Suami


§ Surah An-Nisa- 128


Bermaksud :

Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya "nusyuz" (kebencian), atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka (suami isteri) membuat perdamaian di antara mereka berdua (secara yang sebaik-baiknya), kerana perdamaian itu lebih baik (bagi mereka daripada bercerai-berai); sedang sifat bakhil kedekut (tidak suka memberi atau bertolak ansur) itu memang tabiat semula jadi yang ada pada manusia. Dan jika kamu berlaku baik (dalam pergaulan), dan mencegah diri (daripada melakukan kezaliman), maka sesungguhnya Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu lakukan.


Suami dan Isteri


Surah An-Nisa: 35


Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah "orang tengah" (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua "orang tengah" itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi Amat mendalam pengetahuanNya.


Berdasarkan ayat-ayat Al Quran tersebut, dapat disimpulkan bahawa masalah nusyuz samada di pihak suami atau isteri sewajarnya diselesaikan terlebih dahulu tanpa melibatkan pihak ketiga. Di sini perlunya kebijaksanaan suami atau dalam menyelesaikan konflik tersebut.


Nusyuz boleh diibaratkan seperti suatu penyakit. Dalam kes di mana isteri berlaku nusyuz, suami perlulah memainkan peranan sebagai seorang “doktor” menganalisis penyakit isteri dan menggunakan langkah-langkah yang telah ditetapkan di dalam Al-Quran.


Begitu juga sebaliknya, iaitu apabila suami berlaku nusyuz.


v ISU UMUM


Ø Bagaimana ayat-ayat Al-Quran berkaitan nusyuz ini boleh dilaksanakan di dalam kerangka undang-undang yang sedia ada terutamanya Undang-Undang Pentadbiran Keluarga Islam, Tatacara Mal dan Jenayah.
v ISU BIDANGKUASA


Samada Mahkamah Syariah berbidangkuasa untuk mendengar dan memutuskan permohonan suami bahawa isterinya telah berlaku nusyuz di bawah Seksyen 60(2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003.
“…tertakluk kepada Hukum Syara’ dan pengesahan Mahkamah, seseorang isteri tidaklah berhak mendapat apabila nusyuz…”



v Mahkamah Syariah berbidangkuasa


Ø Seksyen 60(2) EUUKIS 2003
Ø Seksyen 60. Kuasa Mahkamah memerintah nafkah bagi isteri, dan efek nusyuz


(1) Tertakluk kepada Hukum Syarak Mahkamah boleh memerintahkan seseorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya.


(2) Tertakluk kepada Hukum Syarak dan pengesahan Mahkamah, seseorang isteri tidaklah berhak mendapat nafkah apabila dia nusyuz atau enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya, iaitu, antara lain—


(a) apabila dia menjauhkan dirinya dari suaminya;
(b) apabila dia meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya; atau
(c) apabila dia enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain,
tanpa apa-apa sebab yang sah mengikut Hukum Syarak.


(3) Selepas sahaja isteri itu bertaubat dan menurut kemahuan dan perintah sah suaminya, maka isteri itu tidaklah lagi menjadi nusyuz.


§ ARAHAN AMALAN NO.11 TAHUN 2001
“ Kes Nusyuz hendaklah didengar dalam kes induk dan tidak perlu dibuat secara berasingan. Mana-mana kes nusyuz yan telah diputuskan sebelum daripada permohonan perceraian, tidak boleh dibuka semula dalam kes permohonan perceraian tersebut.”
Kesan Arahan Amalan: Keputusan Mahkamah ke atas kes nusyuz sebelum pemfailan permohonan cerai adalah tidak relevan.


· KES PERINTAH TAAT (PT)
· Apakah prosedur dari sudut Hukum Syara’ sebelum seseorang isteri itu boleh diisytiharkan telah melakukan nusyuz?
· ISU: Suami keluarkan PT atau Mahkamah keluarkan PT.
· Cadangan: Permohonan dibuat secara Ex-Parte: hanya untuk mahkamah mengesahkan arahan-arahan yang diberikan oleh suami samaada sah mengikut Hukum Syara’ atau tidak.
· Saman: dikeluarkan oleh Mahkamah bagi memanggil isteri hadir untuk membela diri.
· Perintah: Mahkamah keluarkan PT kepada isteri selepas mendengar penjelasan kedua-dua belah pihak.
· Sekiranya PT diingkari, suami boleh memfailkan tuntutan di Mahkamah Syariah yang sama untuk mengisytiharkan isterinya nusyuz dengan menggunakan tindakan melalui permohonan.
· Sebaik-baiknya Jawatankuasa Kaedah Nusyuz turut dibentuk di bawah S.134 EUUKIS 2003 sepertimana Jawatankuasa KAedah lain dibentuk.


v MAHKAMAH SYARIAH TIADA BIDANGKUASA


Ø Justifikasi:
§ Peruntukan hanya menyebut tentang kesan nusyuz ke atas nafkah.
§ Seksyen ini jatuh di bawah bahagian yang bertajuk Nafkah isteri.
§ Suami boleh membuat aduan di bawah Enakmen Prosedur Jenayah dan seterusnya tindakan boleh diambil di bawah seksyen 130 EUUKIS.
§ Seksyen 130-Tindakan Jenayah
“Seseorang perempuan yang bersengaja tidak menurut sesuatu perintah yang diberi oleh suaminya yang sah mengikut Hukum Syara’ adalah melakukan sesuatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi RM100.00 atau bagi kesalahan kali kedua atau kali kemudiannya, denda tidak melebihi RM500.00”


Ø Prosedur :
§ Suami boleh membuat aduan kepada Unit Penguatkuasaan Jabatan Agama.
§ Penyiasatan akan dijalankan oleh Pegawai Penguatkuasa Agama (PPA) menurut Enakmen Prosedur Jenayah.
§ Hasil temubual dengan Ketua Penguatkuasa Agama dan Ketua Pendakwa Syarie Negeri Selangor serta Pegawai Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, didapati walaupun ada aduan dibuat, tiada pemfailan kes pendakwaan dilakukan di bawah seksyen ini kerana beberapa masalah yang timbul.
1. Kurangnya kerjasama daripada Pengadu. Contoh: Pengadu menghilangkan diri selepas membuat aduan.
2. Kurangnya kerjasama daripada saksi-saksi. Contoh: saksi tidak hadir apabila dipanggil ke mahkamah.
3. Pihak isteri telahpun berpindah ke kawasan luar bidangkuasa penguatkuasa agama tempatan.


v SUAMI NUSYUZ


Ø Tindakan Mal atau Jenayah
§ Mal: Isteri boleh failkan permohonan perceraian samada perceraian secara baik, perceraian taklik dan fasakh.
§ Jenayah: Isteri boleh membuat aaduan kepada Unit Penguatkuasaan Jabatan Agama supaya tindakan diambil di bawah EUUKIS 2003:
1. Perintah Suami kembali semula ke rumah kelamin; atau
2. Penganiayaan ke atas isteri; atau
3. Kegagalan memberikan keadilan.


v KEDUA-DUA PIHAK NUSYUZ


Ø Pembetukan Hakam – Jawatankuasa Pendamai.
§ Bagaimana hendak memastikan keberkesanan Hakam.
§ Hakam hendaklah dilantik dari kalangan ahli keluarga atau pegawai hakam yang dilantik oleh pihak mahkamah.


v KESIMPULAN


Ø Sekiranya kes nusyuz dikendalikan melalui proses perundangan mengikut format prosedur yang ditetapkan dalam undang-undang yang berkuatkuasa, ianya akan melibatkan tempoh masa yang panjang dan boleh menimbulkan keresahan dan mengakinatkan keaiban pihak-pihak.
Ø Tambahan pula arahan amalan telah menetapkan sebarang keputusan nusyuz lepas tidak memberi kesan kepada permohonan-permohonan yang baru.
Ø Justeru itu, sewajarnya kes nusyuz dikendalikan melalui mekanisme alternatif penyelesaian pertikaian seperti kaedah majlis sulh dan Hakam.



Ø Dengan ini diharap dilemma penguatkuasaan nusyuz dapat dihapuskan.

ISTERI NUSYUZ ATAU SUAMI DERHAKA


Dalam bahasa kita nusyuz ni ingkar atau derhaka. Persoalannya bila sebut sahaja nusyuz atau derhaka ni selalunya "macam" terfokus kepada isteri. Isteri derhaka, tak taat suami tak hormat suami tak nak layan suami dan macam-macam lagi kesalahan diletakkan ke atas wanita yang bergelar isteri. Kesian orang perempuan ni dah la buat kerja macam-macam, siang, malam, pagi, petang nak cuti pun susah sebab kerja tak pernah selesai. Yang lagi hebat, kalau anak 5,6,7,8,9 dan keatas lepas tu tak ada pembantu... Ya Allah ... faham-faham sahajalah. Tapi orang perempuan ni dicipta oleh Allah walaupun fizikalnya nampak lemah tapi kekuatan dalamannya memang hebat lebih-lebih lagi jika untuk suami dan anak-anak yang sangat-sangat dikasihi. Sebab itulah berkorban terkorban pengorbanan sangat sinonim di dalam diari kehidupan seorang wanita.

Hukum nusyuz atau derhaka ni memang jelas haram, bila dah haram bila dilakukan maka berdosa. Sebagai seorang yang beriman bila sebut dosa tentu kita takut sebab bila dah berdosa kalau tak bertaubat hadiahnya adalah neraka Nauzubillahi min zalik.

Oleh itu berhati-hati dalam tindak tanduk kita supaya tidak dikategorikan sebagai isteri yang derhaka. Kalau ada minta maaf cepat2 sebab kematian itu datang tak tentu masa bila-bila sahaja.

Bila sebut tentang nusyuz atau derhaka ni, adakah isteri sahaja yang nusyuz, bagaimana pula suami?

Isteri dikatakan nusyuz jika tidak mentaati suami sebagaimana yang diwajibkan oleh Allah Taala. Isteri wajib mentaati suami tapi bersyarat iaitu sebagaimana yang diwajibkan oleh hukum syarak. Kalau suami tak bagi tutup aurat tak bagi belajar ilmu fardhu ain maka bukanlah nusyuz jika tidak dipatuhi. Ketaatan yang dituntut oleh Islam ada panduan sebagai rujukan dan bukan sewenang-wenangnya.

Suami juga dikatakan nusyuz, jika berlaku zalim seperti tidak menunaikan hak nafkah atau bercakap atau bertindak kasar terhadap isteri atau tidak menunakan hak isteri dalam pembahagian giliran bermalam. (rujuk kitab terjemahan Al-fiqh Al-Manhaji jilid 4 ms 849)

Tak beri nafkah, tak nak bercakap dengan isteri, pukul isteri, tak nak balik rumah isteri tua bila dah dapat isteri muda dan sebagainya...itu perbuatan derhaka dari pihak suami terhadap isteri.

Isteri juga berhak menasihati suami sebagaimana suami berhak menasihati isteri. Jika peringatan dan nasihat yang diberikan oleh isteri tidak berkesan, masalah tersebut wajar dibawa ke Mahkamah bagi isteri untuk mendapatkan haknya. Ini kerana hakim di Mahkamah dilantik untuk mengembalikan hak kepada empunya hak khususnya bagi isteri- isteri yang tidak mampu mendapatkan haknya secara perundingan.

Suami berduit tapi tak nak bagi kat isteri katanya isteri bekerja jadi tanggunglah diri sendiri, adakah itu juga kategori derhaka ya, tak berani nak declare. Tapi yang jelas itu suami yang kedekut Sabda Rasulullah "Sebaik-baik kamu ialah mereka yang baik kepada ahli keluarganya dan saya adalah orang yang paling baik di kalangan kamu kepada ahli keluarga saya"

Tak salah jika Isteri bekerja dengan izin suami, ditambah pula perkerjaan isteri memang tak bercanggah dari hukum syarak tapi tanggungjawab suami untuk memberi nafkah kepada isteri tetap tidak gugur...

Satu penyakit yang menular dalam masyarakat kita ialah masalah komunikasi antara suami dan isteri, kadang-kadang seminggu tak bercakap alasannya tak ada apa yang nak dibualkan, tapi yang peliknya ditempat kerja masing-masing diiktiraf kaki sembang, pandai bercerita, hebat dihadapan rakan sekerja tapi bila balik rumah out..bercakap tak nak, senyum pun susah, telefon pun tak nak masing-masing bawa diri masing-masing sorang gi timur dan sorang di barat, anak-anak pun jadi confius arah tuju keluarga yang hendak dibina oleh ibu bapa mereka. Masing-masing lebih prihatin dan ambil berat hal-hal orang luar dari keluarga sendiri sedangkan hadis diatas jelas menyatakan siapakah "sebaik-baik kamu"....


Kesimpulannya nusyuz atau derhaka, bukan sahaja dari pihak isteri bahkan suami juga, oleh itu muhasabah diri dari masa ke semasa. Semua orang nak hidup bahagia bersama orang yang dikasihi. Pada pendapat saya corak atau warna kehidupan dalam keluarga yang kita bina adalah pilihan kita sendiri... bahagia atau derita tanya diri sendiri.. Allah beri aqal untuk berfikir dan gunakan sebaik mungkin jangan disebabkan keegoan diri sendiri menghancurkan kebahagian diri sendiri dan insan-insan yang berada disekeliling kita...

Semoga Allah mengampuni dan merahmati kita semua..

Thursday, December 7, 2017

dipukul sampai mati curi duit datuk belanja kawan minum arak







Image may contain: 1 person, standing


 MELAKA: Seorang pelajar lelaki tingkatan empat dari Taman Tangkak Jaya, Tangkak, Johor meninggal dunia di Hospital Melaka, malam kelmarin, selepas ditemui tidak sedarkan diri di sebuah hentian bas di Ayer Keroh, di sini.
M Arunasalam, 16, ditemui oleh dua orang awam sebelum membawa mangsa ke Jabatan Kecemasan, Hospital Melaka.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim, berkata mangsa yang dirawat di zon merah diberi bantuan pernafasan kira-kira 30 minit sebelum disahkan meninggal dunia.
"Pemeriksaan ke atas mangsa menemui kesan lebam dan birat di kedua-dua belah tangan serta belakang badan mangsa.
"Tiada pengenalan diri ditemui pada mangsa yang lengkap berpakaian," katanya ketika dihubungi, petang ini.
Tinjauan BH di Hospital Melaka mendapati mayat mangsa masih berada di Jabatan Forensik bagi proses bedah siasat.
Beberapa individu yang dipercayai ahli keluarga mangsa turut berada di lobi Jabatan Forensik, tetapi enggan ditemubual.
Kamaluddin berkata, siasatan lanjut dan punca kejadian masih disiasat.
"Polis sudah mengambil beberapa keterangan saksi termasuk ibu mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.
Sejak semalam, tiga video berdurasi kira-kira seminit setiap satu tersebar luas di Facebook yang memaparkan seorang remaja lelaki dipukul dipercayai kerana dipercayai mencuri duit datuknya.
Dalam video berkenaan, remaja yang tidak berbaju itu dilihat dipukul menggunakan getah paip sambil kali merayu dan menangis.
Mengulas kandungan video berkenaan, Kamaluddin berkata, pihaknya sedang menyiasat kesahihannya.



Image may contain: 1 person

Suami mempermainkan talak








HUBUNGAN suami isteri ada bermacam-macam ragam. Sama ada di pihak suami atau isteri ada sahaja perkara yang diucapkan dan dilakukan yang boleh menggugat keharmonian rumah tangga. Kita juga tentunya biasa mendengar dialog seperti di bawah ini:
Suami: Jika engkau keluar dari rumah ini maka jatuhlah talak.
Isteri: Jika saya keluar buang sampah?
Suami: Boleh keluar buang sampah
Isteri: Pergi kerja?
Suami: Kerja tentulah boleh! Jika tidak, kita nak makan apa? Tapi lepas kerja balik rumah terus.
Isteri: Keluar bayar bil-bil?
Suami: Itu boleh! Mesti bayar sebelum air dan elektrik kita kena potong.
Kedengarannya agak lucu. Tetapi daripada kata-kata atau lafaz seperti ini sebenarnya akan memberi kesan kepada kedudukan pasangan terbabit sebagai suami isteri. Talak tidak harus dipersendakan antara suami isteri.
Jika suami melafazkan sesuatu seperti jika engkau keluar rumah jatuh talak, maka akan jatuhlah satu talak jika si isteri keluar rumah. Ia jelas kerana suami melafazkan talak itu kepada isteri dengan niat.
Bagaimana pula jika selepas suami mengucapkan itu, isteri bertanya lebih lanjut. Lalu suami menarik semula kata talaknya dengan syarat-syarat tertentu. Adakah ucapan talak itu suatu permainan? Boleh ditarik balik setelah diucapkan? Adakah kuasa talak itu sebagai senjata suami untuk mempermainkan perasaan isteri? Apakah hak isteri bila ini berlaku?
Tidak dinafikan, terdapat pasangan suami isteri yang masih terus hidup bersama walaupun suami sudah beberapa kali mengucapkan talak kerana salah faham sama ada mereka sudah sah bercerai atau tidak.
Ada kes suami yang sedang marah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) ke telefon bimbit isteriya bahawa “aku ceraikan kamu’ pada sebelah pagi. Tetapi pada sebelah petang, setelah reda marah, suami pulang ke rumah dan bersama isteri semula atas alasan talak pagi itu ditaip ketika dia sangat marah dan tidak menyebut nama isterinya. Adakah jatuh talak ke atas isterinya?
Ada dua pendapat ulama mengenai cerai yang ditaip tanpa dilafazkan ini. Ada ulama yang menyatakan cerai yang ditaip dan dihantar melalui SMS, facebook, blog atau twitter tidak sah kerana tidak dilafazkan.
Mereka mengikut hukum asal, iaitu cerai mesti dilafazkan. Lafaz cerai ada dua bentuk iaitu lafaz tasrih/sarih (nyata) iaitu mestilah lafaz yang jelas dan kukuh atau lafaz kinayah/ta’rid (kiasan), dan niat orang yang melafazkannya. Sayugia semasa menulis surat cerai pun mesti diikuti dengan lafaz cerai.
Cerai yang tidak perlu lafaz hanya jika orang itu bisu dan cerai taklik. Cerai taklik telah dilafazkan lebih awal iaitu lafaz pada surat nikah semasa akad nikah. Makanya, lafaz taklik itu diterima pakai jika wujud sebarang permasalahan dalam rumahtangga.
Pada masa sama terdapat kumpulan ulama yang mengatakan sah cerai melalui SMS kerana SMS itu menunjukkan suami mengiyakan hendak bercerai dan suami ada niat ketika menaip ‘aku ceraikan engkau’.
Tulisan dalam SMS itu adalah sarih (nyata). SMS juga salah satu cabang komunikasi terkini yang sudah diterima sebagai sebahagian hidup kita hari ini. Perceraian adalah sah dan suami boleh merujuk kembali kepada isteri dalam tempoh idah.
Bagaimana pula jika suami beritahu orang lain yang dia telah bercerai dengan isterinya? Tetapi isteri tidak mendengar apa yang suami cakapkan ini. Misalnya, apabila ditanya oleh kawan-kawan, si suami menjawab dia dengan isterinya telah bercerai. Kawan tersebut kemudiannya memberitahu si isteri.
Apabila si isteri bertanya benarkan suami bercakap demikian, si suami menjawab dia hanya main-main. Apa kedudukannya apabila orang lain yang mendengar lafaz cerai itu?
Dalam kes seperti ini, jatuh talak kerana tidak ada syarat isteri kena mendengar suami mengucapkan talak ke atas dirinya. Apatah lagi jika suami melafazkan dengan lafaz yang jelas ‘saya telah ceraikan Minah’ (isterinya) kepada sesiapa sahaja. Maka jatuh talaknya.
Hukum jika suami melafazkan cerai bukan di hadapan isteri tetapi melafazkan semasa sedang berbual atau hanya bercerita tentang lafaz cerai yang jelas kepada sesiapa jua, maka jatuh talak.
Jadi kepada para suami, beringatlah, jangan bermain-main dengan perkataan `saya dah ceraikan isteri saya’ apabila ditanya oleh kawan-kawan. Kemusykilan juga timbul dalam kes suami mengaku bujang atau duda. Adakah jatuh talak?
Para ulama berbeza pandangan tentang orang yang berbohong mengaku dengan lafaz yang jelas telah bercerai atau telah mentalakkan isterinya.
Ada ulama berpendapat jika suami berbohong, maka dia berdosa kerana berbohong namun tiada apa-apa kesan terhadap hubungan dia dengan isterinya kerana ini termasuk dalam lafaz kinayah yang memerlukan niat. Sedangkan niatnya adalah berbohong bukan talak. Sama halnya jika dia berkata: “Saya tiada isteri." Ini termasuk dalam lafaz kinayah.
Pandangan Ibn Muflih dari mazhab Hambali dalam al-Furu’ lebih berat kepada jatuhnya talak apabila suami mengaku masih bujang atau tiada isteri. Jika seseorang ditanya: “Kamu telah mentalakkan isterimu?" lalu dia menjawab: “Ya!" Atau dia ditanya: “Kamu ada isteri?" Lalu dia menjawab: “Aku telah talakkan dia." Sedangkan dia berbohong, maka talak itu terlaksana."
Ulama yang lain juga berpandangan talak atau cerai sudah terlaksana cuma talak itu sama ada secara Diyanatan atau Qadha’an.
Ulama mazhab Hanafi dan Syafie berpendapat sesiapa yang mengaku bercerai secara dusta, maka cerai itu terlaksana secara Qadha’an tidak secara Diyanatan.
Dalam al-Bahr al-Ra’iq dari mazhab Hanafi dinyatakan: “Sekiranya dia mengaku talak secara berbohong, maka terlaksana talak itu dari sudut Qadha’an (zahir/penghakiman)."
Dalam Asna al-Matolib Syarh Raudh al-Tolib dari ulama mazhab al-Syafie dinyatakan pula: “Sekiranya dia mengaku talak secara dusta, tidak tertalak isterinya batinan (Diyanatan), hanya berlaku talak zahiran (Qadha’an)."
Diyanatan adalah talak yang benar-benar jatuh di sisi Allah SWT walaupun dari sudut undang-undang tidak dapat disabitkan kerana ketiadaan bukti yang jelas.
Qadha’an pula talak yang dihukum jatuh oleh hakim atau kadi berdasarkan zahir disebabkan ketiadaan bukti menunjukkan tidak ada niat atau seperti seseorang yang melafazkan talak kerana terlajak cakap.
Pandangan ulama mazhab al-Syafie dan Hanafi lebih afdal diterima dalam hal ini.
Jadi, kepada pada suami, janganlah mempermainkan talak sama ada melalui percakapan, SMS mahupun ungkapan-ungkapan di media sosial. Suami mesti lebih bertanggungjawab dan menjadi pemimpin terhadap isteri dan anak-anak ke jalan yang lebih baik. Jangan dipermain hukum Allah sesuka hati kerana kesannya sangat besar. Talak yang sah akan menyebabkan berlakunya perceraian. Jika suami tidak mahu mengaku, suami akan menanggung dosa hasil dari penafian dan penipuannya itu selamanya kerana setiap ucapan dan perbuatan adalah tanggungjawab suami itu sendiri.


sumber dari © Utusan Melayu (M) Bhd 

Wednesday, December 6, 2017

jenis jenis penceraian



Perceraian atau talak adalah pembubaran hubungan suami-isteri daripada ikatan pernikahan atau perkawinan yang sah mengikut syariat Islam

Ea37 Image via kabarmuslimah.com

Mengikut pengamalan perundangan Islam di Malaysia, pembubaran perkahwinan boleh berlaku melalui 5 cara iaitu:
  • 1. Cerai Talaq

    • Perceraian secara talaq berlaku apabila kedua-dua pihak suami dan isteri bersetuju untuk bercerai secara baik, atau suami membuat keputusan untuk menceraikan isteri dengan lafaz talaq.

      Talaq dibahagi kepada dua iaitu:

      i) Talak sharih (langsung)

      Talak sharih adalah ucapan talak secara jelas dan eksplisit yang apabila diucapkan kepada isteri, maka jatuhlah talak/perceraian walaupun suami tidak berniat untuk cerai. Seperti contoh apabila suami berkata, "Aku ceraikan kau." atau "Kamu diceraikan." kepada isteri.

      ii) Talak kinayah (tidak langsung, implisit)

      Talak kinayah adalah lafaz yang mengandungi makna perceraian yang tersirat tetapi tidak secara langsung. Contohnya ayat, "Pulanglah pada orang tuamu!" yang dilafaz oleh suami.

      Juga termasuk dalam talak kinayah adalah talak sharih (langsung) yang dibuat secara tertulis atau melalui SMS.
  • 2. Cerai Ta'liq

    • Ta'liq didefinisikan mengikut Undang-undang Keluarga Islam sebagai lafaz perjanjian yang dibuat oleh suami selepas akad nikah. Perceraian secara ta'liq berlaku apabila suami melanggar ta'liq yang dibuat olehnya semasa upacara akad nikah.

      Amalan ta'liq ini walaupun tidak wajib mengikut hukum Syara', tetapi ia boleh diterima pakai berdasarkan kepada persetujuan kedua-dua pihak. Lafaz ta'liq yang dibuat oleh suami semasa upacara akad nikah ini berbeza mengikut negeri.

      Contoh lafaz ta'liq selepas akad nikah:

      “Saya mengaku apabila saya tinggalkan isteri saya (nama isteri) selama empat bulan hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan, dan saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama tempoh yang tersebut pada hal ia taatkan saya atau saya melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya, kemudian ia mengadu kepada mahkamah syariah, dan apabila sabit aduannya di sisi mahkamah syariah, dan ia memberi kepada Mahkamah Syariah, yang menerima bagi pihak saya satu ringgit maka pada ketika itu tertalak ia dengan cara talak khulu'.”
  • 3. Cerai Khulu'

    • Perceraian secara khulu' merupakan salah satu alternatif perceraian yang boleh berlaku dengan penawaran oleh pihak isteri untuk bercerai dengan suaminya dengan menawarkan sejumlah wang atau harta sebagai pampasan.

      Perceraian berlaku dengan lafaz talaq oleh suami apabila dia bersetuju dengan pampasan tersebut. Perceraian jenis ini juga termasuk dalam kategori talaq ba’in sughra. Oleh itu, ia tidak boleh dirujuk.

      Apa itu talaq ba'in sughra?

      Hukum yang ditimbulkan oleh khulu’ adalah talaq ba'in sughra yang memberi maksud, hilangnya hak rujuk pada suami selama masa ‘iddah.

      Bererti, sekiranya lelaki tersebut ingin kembali bersama bekas isterinya, dia diwajibkan untuk melamar dan menikah semula dengan bekas isterinya itu.

      Sementara itu, wanita yang meminta khulu' itu wajib menunggu sampai masa ‘iddahnya berakhir sekiranya ingin menikahi lelaki lain.
  • 4. Cerai Fasakh

    • Fasakh merupakan pembubaran perkahwinan melalui kuasa yang diberikan kepada Hakim (judicial decree). Walaupun hak untuk memohon fasakh terpakai kepada kedua-dua suami dan isteri, namun secara amalannya hak fasakh diberikan kepada isteri memandangkan suami mempunyai hak untuk melafazkan talaq.

      Perceraian secara fasakh boleh berlaku apabila hakim memutuskan untuk memfasakhkan perkahwinan tersebut dengan alasan yang boleh memudaratkan pihak-pihak dalam perkahwinan tersebut dan ia tidak dapat diselamatkan lagi.

      Contohnya apabila:

      i) Suami tidak memberi nafkah zahir dan batin selama empat bulan berturut-turut
      ii) Suami meninggalkan isteri selama empat bulan berturut-turut tanpa sebraang khabar berita
      iii) Suami tidak melunaskan mahar (mas kahwin) yang telah disebutkan dalam akad nikah, baik sebahagian ataupun seluruhnya
      iv) Terdapat perlakuan buruk oleh suami seperti penganiayaan, penghinaan, dan tindakan-tindakan lain yang membahayakan keselamatan isteri

      Jika bukti-bukti dari pihak isteri telah sah, maka Hakim berhak memutuskan hubungan perkahwinan antara keduanya.

  • 5. Cerai Li'an

    • Perceraian secara li'an berlaku apabila suami menafikan anak yang dilahirkan oleh isterinya atau anak di dalam kandungan isterinya sebagai anaknya, atau menuduh isterinya berzina dengan lelaki lain tetapi tidak dapat membuktikan melalui penyaksian empat orang saksi.

      Sumpah li’an dilakukan oleh suami dengan menyatakan atas nama Allah, dia bersumpah bahawa isterinya telah melakukan zina. Sumpah itu dinyatakan sebanyak 4 kali oleh suami, dan pada sumpah kelima, suami menyatakan dia siap menerima laknat Allah jika dia berbohong.

      Demikian juga sebaliknya, isteri dapat melakukan sumpah balik (sumpah nukul), atas nama Allah, dia bersumpah bahawa dia tidak melakukan zina. Sumpah itu dinyatakan isteri sebanyak 4 kali dan pada sumpah kelima, isteri menyatakan dia siap menerima laknat Allah jika tuduhan suaminya itu benar.

      Maka apabila pihak-pihak tersebut (suami dan isteri) telah mengangkat sumpah dengan cara li'an, mengikut hukum Syara' di hadapan Hakim Syar'ie, maka mereka akan difaraqkan.

      Kesannya, kedua-dua pihak tidak boleh rujuk kembali atau berkahwin semula.
  • Baru Seminggu Kahwin Dan Bercerai Talak 3






    Masih ingatkah dengan perkahwinan pasangan muda Nor Fazira Saad, 13, dan Mohd Fahmi Alias, 20, di Kulim, Kedah pada 17 November 2013?Perkara itu mendapat liputan yang cukup hangat lantaran usia mereka terutamanya pengantin perempuan baru menginjak 12 tahun pada waktu itu.

    Nor Nazira dan Mohd Fahmi dinikahkan selepas mendapat perintah mahkamah mengikut Seksyen 18 (1) (a) Enakmen Undang Undang Keluarga Islam Kedah 2008 dengan mas kahwin RM1,500 dan wang hantaran RM4,552.



    Sewaktu ditanya pihak media, kedua-duanya pernah mengatakan yang mereka sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab suami-isteri dan usia bukanlah penghalang untuk mereka.Pada masa yang sama, keluarga terutama bapa Nor Fazira, Saad Mustaffa, 43, berpendapat tindakannya mengahwinkan anaknya yang sudah tidak bersekolah selepas tamat darjah enam itu adalah kerana tidak mahu pasangan ini terjebak dalam maksiat.

    Bagaimanapun, kami terkejut apabila mendapat perkhabaran bahawa Nor Fazira dan Mohd Fahmi sudah disahkan bercerai pada 11 November 2014 di Mahkamah Syariah Kulim.Lebih dahsyat lagi, ia bukanlah cerai talak satu, tetapi talak tiga! Aduhai, mengapalah sampai begitu sekali lafaznya.


    Perceraian yang kurang seminggu dari ulang tahun perkahwinan mereka yang pertama itu masih tidak diketahui puncanya, memetik laporan Harian Metro.Menurut Saad, dia menerima dengan redha kenyataan itu dan menganggap jodoh anaknya sampai di situ sahaja.
    Nor Fazira juga dilaporkan tidak banyak bercakap mengenai perkara itu dan kini tinggal bersama bapa saudaranya di Padang Serai untuk menenangkan fikiran.Sementara itu,  keluarga Mohd Fahmi dikatakan belum memberi sebarang kenyataan berhubung perkara itu.

    Dengan terjadinya perkara ini, maka ramailah yang akan melontarkan pendapat masing-masing melalui laman sosial selepas ini.Mungkin itulah relevannya undang-undang Malaysia menetapkan umur minimum 16 tahun untuk perempuan dan 18 tahun untuk lelaki Islam mendirikan rumahtangga kecuali atas sebab-sebab tertentu.
    Ramai yang menjadikan ‘elak zina’ sebagai alasan untuk berkahwin awal dan sememangnya ia tidak dapat disangkal kebenarannya.

    Namun, pada masa yang sama ramai yang terlupa perkahwinan bukan semata-mata memenuhi gelojak hawa nafsu, tetapi ia merangkumi pelbagai lagi tanggungjawab lain yang cukup berat.Apapun, kami doakan yang terbaik untuk Nor Fazira dan Mohd Fahmi untuk meneruskan hidup baru mereka selepas ini.-mynewshub.my