Tuesday, December 12, 2017
ISTERI NUSYUZ: Apa tindakan suami?
ISTERI NUSYUZ: Apa tindakan suami? Terapi Anti-Nusyuz! Beberapa hari ini, saya kerap dirujuk mengenai persoalan isteri nusyuz. Para suami kerap mengadu isteri mereka telah nusyuz. Aduan ini pada dasarnya belum dapat mensabitkan kenusyuzan isteri, namun ia sudah cukup untuk mensabitkan kepincangan dalam kaedah suami mengurus rumahtangga. Saya tidak menyalahkan para suami (termasuklah diri saya) sepenuhnya. Namun tidak dapat dinafikan, kenusyuzan isteri sedikit sebanyak turut berpunca daripada sikap suami. Memang lumrah kehidupan, ada hamba yang taat ada hamba yang derhaka. Begitu juga lumrah rumahtangga ada isteri yang taat, ada pula yang tidak taat, itulah isteri nusyuz. Tidak ketinggalan adakalanya suami juga ada yang berlaku nusyuz terhadap isteri tanpa mereka sedari. Pasti ada yang tidak kena, bila isteri berlaku nusyuz. Syaitan sudah tentu tak henti-henti menjadi batu api yang mencetuskan keretakan dalam rumahtangga. Namun syaitan tidak wajar dipersalahkan kerana syaitan sudah sememangnya sentiasa salah. Justeru jangan buang masa menyalahkan syaitan. Apakah yang harus dilakukan jika isteri mula berlaku nusyuz? Adakah suami perlu terlebih dahulu melakukan tiga (3) tindakan tersusun menurut perspektif al-Quran? Atau suami boleh terus sahaja memfailkan permohonan sabitan nusyuz di Mahkamah Syariah untuk menggugurkan hak isteri terhadap nafkah lantaran bimbang nanti isteri akan failkan tuntutan fasakh? Atau suami boleh sahaja terus menceraikan isterinya? Pendekatan yang terbaik dalam menyelesaikan isu nusyuz perlulah berpandukan al-Quran yang telah menyediakan tindakan pencegahan sejak peringkat pra-nusyuz lagi. Di peringkat pra-nusyuz suami disuruh memberikan nasihat yang lemah lembut dan berhikmah kepada isteri. Jika nasihat lemah lembut ini tidak berkesan, perlulah nasihat semula disampaikan dengan cara yang lebih tegas dan profesional. Untuk tujuan kehakiman, di peringkat ini suami perlu membuktikan nasihat telah diberi kepada isteri sama ada melalui surat bertulis yang ditujukan kepada isteri dan dibuktikan penerimaannya, atau melalui saksi yang mendengar nasihat tersebut disampaikan secara lisan. Sebagai alternatif, pihak suami boleh mengupah peguam syarie untuk mengemukakan surat kepada isteri agar kembali taat. Mungkin juga 'ayat-ayat cinta' daripada Peguam Syarie mampu merawat penyakit nusyuz isteri. Seterusnya jika isteri masih enggan taat, bolehlah suami meninggalkan isterinya di tempat tidur. Berpandukan al-Quran, memang boleh. Namun apa pula halnya jika memang suami isteri sudah lama tinggal berasingan. Sudah tentu langkah ini tidak praktikal lagi. Justeru adakah boleh suami terus melakukan tindakan terakhir dengan memukul isteri? Jangan! Isteri tidak suka dipukul walaupun ia dibenarkan oleh Syarak. Melainkan suami seorang 'pemukul' yang profesional, silakanlah. (Yang ni kena belajar cara 'memukul' isteri yang nusyuz secara profesional) Memukul isteri yang nusyuz secara tidak profesional sama seperti mengundang isteri ke majlis perceraian. Jika suami tidak mahu menempa risiko ke jalan perceraian, jangan mencari padah. Silap-silap suami boleh masuk penjara gara-gara memukul isteri. Jangan main-main. Jadi apa yang harus dilakukan lagi? Adakah suami dah boleh failkan kes sabitan nusyuz? Sabar dulu! Jangan nak cepat sangat. Bangga sangat ke memiliki isteri yang nusyuz? Apa kata kita guna cara psikologi pulak. Cari punca isteri nusyuz, dan lakukan terapi anti-nusyuz. Macammana nak lakukannya? Insya-Allah, jika berkesempatan kita akan bincangkannya lagi.
POSTED BY JURAISH KAMARUDDIN AL-MUHAMI
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment